You are here: NEWS More News

Worlwide sedia bina loji sisa kepada tenaga

Shah Alam: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) bersedia membina dan menguruskan loji sisa kepada tenaga (WTE) di negara ini, sekiranya diberi tanggungjawab berbuat demikian.

Pengerusinya Datuk Noordin Sulaiman berkata, untuk tujuan itu syarikatnya menjalin kerjasama dengan IMPSA Malaysia Sdn Bhd bersama HERA Italy yang akan menggabungkan kepakaran serta kebolehan untuk memacu industri pengurusan sisa di negara ini menggunakan teknologi baru dan terkini.


“Kami mengiktiraf kepentingan kekuatan rakan kerjasama dalam pembangunan projek WTE di negara ini dan memilih IMPSA berdasarkan kepada rekod prestasi yang terbukti syarikat itu dalam teknologi dan pengurusan loji janakuasa serta kerjasama mereka dengan HERA Group dari Itali yang bertanggungjawab membina beberapa insinerator di seluruh dunia.

“Pengalaman dan kerjasama itu menjadikan mereka pelengkap kepada Worldwide Holdings kerana kami berharap untuk mempercepatkan pembabitan dalam projek WTE,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Worldwide Holdings dengan IMPSA Malaysia, di sini semalam.


Memorandum Kerjasama itu ditandatangani Pengurus Besar, Bahagian Alam Sekitar Worldwide Holdings, Zamri Abdul Rahman dengan Pengerusi IMPSA (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Moehamad Izat Emir disaksikan Noordin dan wakil IMPSA Argentina, Mario Scarpa.


Worldwide Holdings adalah peneraju dalam industri pengurusan sisa pepejal di negara ini dengan nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM1 bilion, manakala IMPSA adalah syarikat global yang berpusat di Argentina dan sudah lebih 100 tahun terbabit dalam industri tenaga yang diperbaharui termasuk loji janakuasa hidro dan tenaga angin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28 | MyMetro - Bisnes